KUALA LUMPUR – Ariani telah bekerjasama buat pertama kali dengan sebuah gedung fesyen mewah terkemuka antarabangsa, Liberty of London bersempena pelancaran koleksi terbaharu, Hikayat Ariani Karya Seindah Busana 2025.
Melalui kerjasama ini, Ariani berbangga dapat menggunakan fabrik berkualiti tinggi daripada Liberty untuk menghasilkan busana raya lebih menarik dan selesa pengguna tegar jenama ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ariani, Datin Seri Farah Haryani, pihaknya bukan sekadar menawarkan produk yang pelbagai warna dan reka bentuk, tetapi turut mengutamakan kualiti jahitan dan fabrik yang dapat memberi keselesaan dan memenuhi cita rasa pengguna.
“Selain daripada menyediakan pilihan fabrik yang berkualiti, jenama antarabangsa ini turut menawarkan fesyen pakaian sedia dipakai, aksesori wanita, barangan kecantikan dan dekorasi rumah dengan sentuhan klasik dan unik.
“Menariknya, kami menawarkan koleksi Ariani Ready To Wear (RTW) X Liberty dengan harga yang bermula RM800 hingga RM1,000 bagi sepasang baju,” katanya dalam sidang media Hikayat Ariani Karya Seindah Busana 2025 di sini baru-baru ini.
Farah berkata, koleksi Ariani RTW X Liberty ini menampilkan lima rekaan potongan tradisional dengan empat pilihan corak menarik dari Liberty sebagai simbolik mengangkat nilai budaya Malaysia bersama jenama antarabangsa.
Tambah beliau, pada tahun ini, Ariani menawarkan 300,000 helai pakaian dengan lebih 200 rekaan daripada jumlah tersebut dan menyasarkan kenaikan 20 peratus jualan berbanding tahun lepas.
Menjelas lanjut, beliau berkata, trend pembelian bagi jenama ini masih banyak melalui runcit, yang mana pelanggan hadir ke cawangan Ariani untuk membuat pembelian secara langsung di sini.
“Apa yang dapat saya lihat, pengguna suka membawa keluarga atau rakan-rakan untuk hadir ke cawangan Ariani dan membeli secara langsung di sini kerana mereka dapat merasai sendiri fabrik dan kami juga mempunyai banyak bilik persalinan yang mana mereka boleh mencuba sendiri pakaian yang mereka suka sebelum membuat pembelian,” ujar Farah.
Ariani kini mempunyai 22 cawangan di seluruh Malaysia dan bercadang untuk membuka satu lagi cawangan baharu di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada tahun ini. -KOSMO! ONLINE