MADRID – Pelumba sensasi Ducati, Marc Marquez semakin bersedia memburu gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2025, namun tidak melihat dirinya sebagai satu-satunya pencabar apabila menyenaraikan empat pelumba dijangka memberi saingan sengit musim ini.
Juara dunia lapan kali itu memasuki musim baharu sebagai pilihan utama selepas menyertai pasukan dominan Ducati dengan aksi pertamanya bersama jentera Desmosedici GP25 mencuri perhatian semasa ujian pramusim baru-baru ini.
“Kami akan cuba berjuang tetapi saya tahu bahawa saya mempunyai rakan sepasukan yang sangat kuat. Saya juga mempunyai rakan serumah yang hebat, adik saya, Alex (Marquez) yang sangat pantas sepanjang pramusim dan hari ini juga menamatkan ujian di tempat kedua.
“Ada beberapa pencabar lain seperti (Pedro) Acosta, kita akan lihat bagaimana (Jorge) Martin menyesuaikan diri dengan Aprilia. Jangan lupakan Martin, dia adalah pelumba yang sangat baik dan (Marco) Bezzecchi telah menunjukkan bahawa Aprilia berfungsi dengan baik.
“Jadi kami akan cuba melakukan yang terbaik di garaj dan lihat apa yang boleh dicapai nanti,” katanya.
Meskipun enggan menganggap dirinya sebagai pelumba perlu dikalahkan, Marquez tetap memberikan isyarat jelas dia berada dalam prestasi terbaik selepas mencatatkan simulasi perlumbaan yang mengagumkan pada Khamis lalu.
Aspek teknikal jentera baharu Ducati juga menjadi perhatian utama pelumba berusia 31 tahun itu yang masih dalam proses menyesuaikan diri sepenuhnya.
“Masih ada beberapa perkara baharu yang perlu saya fahami dengan lebih baik. Tetapi saya gembira, dan kini tidak sabar untuk memulakan musim ini,” katanya. – AGENSI