KETUA jurulatih Pohang Steelers FC, Park Tae-ha bertekad mengutip tiga mata ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) malam ini.
Kedudukan kelab Korea Selatan itu masih goyah dan berpotensi dipintas dua lagi pasukan dari China iaitu Shanghai Port dan Shanghai Shenhua sekiranya memenangi perlawanan masing-masing.
Tae-ha enggan melihat Pohang yang berada di kedudukan kelapan dengan mengutip sembilan mata ketika ini terlepas peluang melangkah ke pusingan 16 ACLE.
Tambahnya, rekod perlawanan menentang JDT pada 2021 tidak memberi jaminan bahawa kemenangan akan datang bergolek buat mereka, sebaliknya perlu berusaha keras memburu kejayaan
“Kami enggan menjadikan rekod pertemuan sebagai ukuran kerana JDT sudah berbeza dalam tempoh empat tahun ini. Kami jangka satu pertembungan hebat, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang keramat mereka.
“Walaupun kami tewas pada Kawasaki Frontale 0-4 dalam saingan ACLE dan tumpas kepada Daejeon Hana 0-3 pada aksi liga domestik, itu tidak menghalang untuk pemain kekal komited serta bangkit ke landasan kemenangan.
“Saya yakin pemain beri persembahan terbaik, mereka juga berkobar-kobar untuk membuat persiapan rapi, malah kami juga ada pengganti mengisi posisi Jonathan (Aspropotamitis) yang digantung akibat kad merah,” katanya.
Saingan ACL berpusat di Bangkok, Thailand sebelum ini menyaksikan Pohang menewaskan JDT 4-1 pada 28 Jun 2021 dan menang 2-0 sebulan kemudian.
Dalam masa sama, Tae-ha mengakui kesebelasan utama JDT bakal diturunkan memiliki kualiti permainan yang tinggi dan gemar bermain secara pantas.
“Saya perlu awasi pemain bernombor 9 (Bergson da Silva) dan pemain No. 30 (Natxo Insa) yang menjadi figura pasukan itu kerana kedua-duanya sentiasa beri impak serta menjadi pencetus kebangkitan JDT,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Pohang, Han Chan-hee mengakui rakan sepasukan sudah bersedia berdepan JDT dan menghidupkan peluang untuk kekal dalam lapan pasukan terbaik ke pusingan seterusnya.
“Kami bertekad untuk mempamerkan aksi terbaik dan mahu menidakkan kemenangan JDT, malah kami tidak risau dengan kehadiran lebih 30,000 penyokong mereka.
“Mengenai faktor cuaca di sini, ia tidak akan mencetuskan masalah buat kami kerana dapat menyesuaikan diri dan optimis mampu bermain dengan corak permainan berintensiti tinggi,” ujarnya.