SEOUL – Pelakon Korea Soletan, Hyun Bin memenangi anugerah Daesang (anugerah utama) pada Anugerah Bintang APAN 2020, semalam, lapor Channel News Asia hari ini.
Hyun Bin, 38, dianugerahkan kemenangan itu bagi peranannya sebagai Kapten Ri Jung-hyuk, seorang tentera elit Korea Utara dalam drama popular Netflix, Crash Landing On You (CLOY) yang ditayangkan tahun lalu.
Dalam ucapan kemenangannya, Hyun Bin berterima kasih kepada peminat CLOY yang menjadikan drama itu satu fenomena di seluruh dunia.
“Saya gembira dapat memulakan 2021 dengan penghargaan yang begitu besar. Saya rasa perlu bekerja lebih keras tahun ini untuk membalas penghormatan ini,” katanya.
Selain itu, Hyun Bin tidak ketinggalan memberi ucapan kepada heroin CLOY yang juga teman wanitanya, Son ye-jin atas kemenangan itu.
“Saya juga berterima kasih kepada Son Ye-jin kerana menjadikan Yoon Se-ri pasangan yang sempurna untuk Ri Jung-hyuk. Watak Kapten Ri menyerlah kerana kehebatan karakter Se-ri,” katanya.
Pasangan selebriti itu mengesahkan hubungan cinta mereka secara terbuka pada 1 Januari lalu selepas rapat ketika bergandingan dalam CLOY. – Agensi