BANGKOK – Sekurang-kurangnya tujuh orang cedera dalam letupan bom di sebuah pos kawalan keselamatan dalam wilayah Narathiwat, selatan Thailand, lapor portal berita Bangkok Post semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 7.10 malam (waktu tempatan) di luar Pos Kawalan Keselamatan Sukarelawan Pertahanan Waeng.
“Bom yang dipasang pada sebuah motosikal roda tiga meletup. Letupan menyebabkan dinding pos kawalan dan beberapa motosikal lain rosak.
“Mangsa yang cedera termasuk tiga sukarelawan pertahanan dan empat penduduk tempatan. Mereka dibawa ke Hospital Waeng untuk rawatan lanjut.
“Pemeriksaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek menunggang sebuah motosikal yang diubah suai sebelum meletakkanya di hadapan pos.
“Bom itu meletup beberapa minit selepas motosikal itu diletakkan,” kata polis.
Polis sedang mengenal pasti individu atau kumpulan pemberontak yang terlibat dalam serangan itu. – AGENSI