LONDON – Empat penggempur berpengalaman sedia untuk menawarkan diri kepada pasukan Arsenal yang kini terdesak untuk mencari pemain No. 9 baharu selepas beberapa bintang utama mengalami kecederaan jangka panjang.
Sebagai rekod, skuad The Gunners kendalian Mikel Arteta kehilangan tonggak penting selepas Kai Havertz disahkan terlepas baki saingan musim ini selepas terpaksa menjalani pembedahan ekoran kecederaan yang dialami di Dubai baru-baru ini.
Situasi ini meresahkan kem Arsenal yang turut kehilangan tiga pemain posisi serangan, Gabriel Jesus, Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka untuk jangka panjang.
Meskipun jendela perpindahan sudah ditutup, Arteta masih boleh membuat pembelian ‘kecemasan’ dengan menandatangani pemain bertaraf ejen bebas yang tidak memiliki kontrak dengan mana-mana kelab ketika ini.
Antara yang dikaitkan dengan Arsenal adalah bekas penyerang antarabangsa Perancis, Wissam Ben Yedder yang masih tidak diikat mana-mana kelab selepas kontraknya bersama AS Monaco berakhir pada Jun lepas.
Selain itu, penyerang antarabangsa Uruguay yang berusia 29 tahun, Maxi Gomez juga dilihat menjadi calon sesuai untuk mengisi kekosongan Havertz selepas kali terakhir mewakili kelab La Liga, Cadiz pada musim lepas.
Bekas penyerang Real Madrid, Mariano Diaz turut dijadikan pilihan idaman bagi jangka pendek The Gunners apabila tidak menyarung jersi mana-mana kelab selepas tamat kontrak bersama Sevilla tahun lalu.
Satu lagi pilihan alternatif terakhir adalah bekas penyerang kontroversi Chelsea, Diego Costa yang kini turut mencari kelab baharu apabila kontrak bersama pasukan Brazil, Gremio tamat secara rasmi, Disember lepas. – AGENSI