fbpx

[VIDEO] Ya Allah tak sabar nak balik ni – Allahyarham Norshamira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Norshamira sewaktu berniaga jualan langsung sambal ikan bilis garing kepada pelanggan.

PETALING JAYA – “Sakit tekak akak dah ni. Ya Allah tak sabar nak balik ni,” demikian kata Allahyarham Norshamira Zainal, 37, sewaktu berbual dengan pelanggan ketika melakukan jualan langsung (direct selling) sambal ikan bilis garing.

Menerusi video dikongsikan seorang pemuda pada TikTok userrazzzzzz, dia bersama pasangannya sedang berbual di sebuah lokasi sambil membuat rakaman menggunakan telefon bimbit.

Semasa berbual, Allahyarham Norshamira mendekati pasangan tersebut serta mempromosi sambal ikan bilis garing kepada mereka.

“Kakak nak promosi sikit produk sendiri, buat sendiri. Kalau ambil satu harga RM15, kalau ambil dua RM28.

“Sakit tekak akak dah ni. Ya Allah tak sabar nak balik ni. Tolong orang tadi anak hilang. Mak dia OKU (orang kurang upaya), nak kejar anak dia tak boleh sebab OKU kan.

“Kena tunggu mak ayah dia datang sini, memang lambat kerja. Tapi akak puas hati juga lah dapat cari budak tu. Rupanya dia menyorok, ayah dia ulang-alik, dia nyorok di taman,” katanya pada video berkenaan.

Wanita itu bercerita, kanak-kanak tersebut bertindak menyorokkan diri dipercayai tidak sengaja ‘terbuat’ sesuatu kepada kanak-kanak lain.

“Anak dia ‘terbuat’ anak orang, jadi mungkin mak ayah budak tu marah. Dia takut dan dia lari,” katanya berbual dengan pasangan tersebut.

Dalam pada itu, pemuda itu turut membeli sambal ikan bilis garing dengan Allahyarham Norshamira.

Bagaimanapun, tidak dimaklumkan pada hantaran video itu berhubung lokasi ketika bertemu Allahyarham yang sedang melakukan jualan langsung.

“Salam takziah kepada keluarga arwah Shamira. Baru minggu lepas jumpa arwah. Sambal tu memang sedap dan rasa menyesal beli satu saja. Semoga arwah bersama dalam kalangan orang yang beriman,” menurut kapsyen video pemuda tersebut.

Pada ruangan komen, ramai bersimpati dan sedih dengan kejadian menimpa Allahyarham lebih-lebih lagi kesungguhan dan kegigihan wanita itu mencari rezeki sehingga waktu malam.

“Ya Allah sedih kegigihan dia berniaga mencari rezeki. Bagitahu tak sabar nak balik dah tak sihat. Tolong orang anak hilang pula. Ya Allah, baiknya moga syurga buatmu Shamira,” komen Tengku Masni.

“Sebabkan video ni, terus saya teringat yang dulu pernah dia promosi sambal kat kami dekat Taman Menara Kuantan waktu tu jam 12 tengah malam,” komen cingcong.

“Akak ni, memang sedap sambal dia dan ramah saja,” kata Aizeti.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang wanita ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam ketika menjalankan urus niaga hantaran tunai (COD) di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, kelmarin.

Mayat peniaga makanan, Norshamira ditemui pada pukul 12.45 tengah hari selepas 17 jam dilaporkan hilang ketika keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang menjadi suspek kes tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI