fbpx

[VIDEO] Remaja langgar jemaah masjid tiada lesen memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar kejadian jemaah dilanggar sebuah motosikal di hadapan Masjid Zahir di Alor Setar pada kelmarin.

ALOR SETAR – Polis membuka kertas siasatan berhubung insiden langgar lari melibatkan sebuah motosikal dinaiki dua remaja yang merempuh seorang warga emas di depan Masjid Zahir, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9.40 malam sewaktu mangsa yang merupakan wanita berusia 65 tahun, sedang melintas di kawasan lintasan pejalan kaki.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Trafik Kota Setar pukul 12.06 tengah hari semalam.

“Siasatan awal mendapati beberapa kenderaan telah berhenti untuk memberi laluan kepada jemaah masjid untuk melintas di kawasan lintasan pejalan kaki tersebut. Namun motosikal berkenaan yang ditunggang seorang remaja lelaki berusia 15 tahun serta dibonceng remaja perempuan berumur 13 tahun, tiba-tiba melanggar individu berkenaan yang sedang melintas.

“Sejurus pelanggaran itu, penunggang serta pembonceng motosikal tersebut terus beredar meninggalkan mangsa yang dilanggar. Warga emas berkenaan kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) keranam mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan,” katanya.

Difahamkan kejadian itu berlaku ketika beberapa jemaah baru keluar dari masjid negeri tersebut selepas Majlis Bacaan Yasin Dan Doa Sempena Nisfu Syaaban Peringkat Negeri Kedah.

Terdahulu, kejadian itu berjaya dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan melalui kawasan tersebut yang tular di media sosial hingga mengundang kemarahan ramai terhadap penunggang motosikal berkenaan.

Siti Nor Salawati menambah, remaja lelaki yang menunggang motosikal tersebut turut tampil ke Balai Polis Trafik Kota Setar kira-kira pukul 7 petang semalam untuk membuat laporan.

“Semakan mendapati remaja itu tidak mempunyai lesen memandu. Motosikal itu kemudiannya disita dengan pemeriksaan dijalankan juga mendapati terdapat modifikasi dilakukan terhadap kenderaan terbabit.

“Keterangan penunggang dan motosikal itu turut dirakam. Tindakan ke atas pemilik motosikal atas kesalahan membenarkan remaja tanpa lesen menunggang motosikal juga akan diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI