JOHOR BAHRU – Kejadian hujan lebat beserta ribut kira-kira sejam sekitar bandar raya ini menyebabkan sebatang pokok angsana di Jalan Kuning, Taman Pelangi di sini menghempap 15 buah kenderaan dan dua buah premis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Firdaus Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan insiden tersebut pada pukul 5.04 petang.
Katanya, 10 anggota dan dua jenters digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluar Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati benar berlaku kejadian pokok tumbang.
“Dua buah premis perniagaan dan 15 buah kenderaan rosak dihempap pokok tumbang berkenaan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Firdaus berkata, operasi memotong pokok sedang dilakukan.
Antara kereta yang dihempap ialah Nissan Almera, Perodua Myvi serta Proton X90.-KOSMO! ONLINE.