PETALING JAYA – Yayasan SP Setia menyantuni kira-kira 50 warga emas di Rumah Orang Tua Ampang sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei, baru-baru ini.
Pengurus Besar Pemasaran dan Komunikasi Jenama Kumpulan Setia, Adelene Wong berkata, program itu bertujuan untuk menyokong komuniti itu selain membantu menyebar kegembiraan serta mengukuhkan hubungan antara semua penghuni.
“Berpandukan ikatan amanah (trust deeds) kami, ia menjadi platform penting penganjuran aktiviti ini yang bertemakan ‘Ikhlasnya, Bantuan Perayaan Setia-Program Tahun Baharu Cina’.
“Bertapatan dengan falsafah ‘Live Learn Work Play’, kami memperjuangkan kepelbagaian, keterangkuman dan semangat kebersamaan dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya sesi robik kerusi, ceramah kesihatan, acara membuat Tang Yuans dalam memperingati Chap Goh Mei dan jamuan.
Selain itu, program tersebut turut disertai dengan aktiviti agihan cenderahati dan angpau kepada penghuni.
SP Setia Berhad merupakan pemaju hartanah terkemuka negara merangkumi pelbagai projek termasuk perbandaran, ekosantuari, enklaf mewah, kediaman bertingkat dan pembangunan komersial. – KOSMO! ONLINE.