fbpx

‘Kita sudah terlalu tua untuk sakit hati dengan gosip’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Puteri Sarah Liyana memilih untuk mengutamakan ketenangan jiwa dengan menjauhkan diri daripada drama serta gosip.

PETALING JAYA – Selepas melalui pelbagai badai kehidupan, pelakon Puteri Sarah Liyana memilih untuk mengutamakan ketenangan jiwa dengan menjauhkan diri daripada drama serta gosip yang tiada penghujung.

Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 40, mengakui sudah tiba masa untuk memberikan fokus terhadap kebahagiaan hidup.

“Kita sudah terlalu tua untuk mempermasalahkan sakit hati dan gosip sana sini,” katanya menerusi satu hantaran dalam Instagram.

Pelakon drama Hijrah Jannah itu juga menekankan kepentingan menjaga ketenangan fikiran, terutama seiring usia yang semakin matang.

Baginya, hidup akan lebih bermakna jika diisi dengan pembelajaran baharu dan usaha mengejar kedamaian.

“Kita hanya perlukan rezeki yang terus mengalir, fikiran tenang, sifat matang, dan peluang untuk belajar lebih banyak perkara,” ujarnya.

Sarah, yang pernah terpalit dengan kontroversi rumah tangga, kini tekad melangkah ke fasa baharu kehidupannya tanpa memandang ke belakang.

Bagi ibu tunggal dua anak itu, pengalaman lalu dijadikan pengajaran untuk memperbaiki diri.

Perkongsian Sarah menerima pelbagai reaksi positif pengikut dan peminat yang kagum dengan ketabahannya.

“Terbaiklah Kak Sarah! Hidup ini lebih bermakna bila kita fokus kepada diri sendiri dan anak-anak. Terus kuat!” tulis seorang pengguna.

“Kata-kata Sarah sangat memberi inspirasi. Teruskan melangkah dengan tenang, rezeki akan sentiasa datang untuk orang yang sabar,” ujar seorang lagi peminat.

“Betul apa yang Sarah cakap. Usia kita makin bertambah, buat apa nak buang masa dengan benda remeh!” komen seorang netizen.

Terdahulu Sarah pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Syamsul Yusof pada 2014 namun, mereka bercerai pada 14 Jun 2023 selepas sembilan tahun bersama.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 8, dan Sumayyah, 6. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI