PETALING JAYA – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia melonjak kepada 5.1 peratus pada 2024 (2023: 3.6 peratus), melebihi unjuran awal kerajaan sebanyak empat hingga lima peratus yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Kerajaan Madani turut mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun 2024 pada 4.1 peratus (2023: lima peratus), berbanding sasaran 4.3 peratus.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan ini dicapai melalui usaha bersepadu Kerajaan Madani dan industri.
“Menjelang tahun 2025, Kerajaan Madani kekal komited sepenuhnya bagi memperkukuh agenda pembaharuan ekonomi dan institusi untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.
Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2024 didorong oleh prestasi memberangsangkan dalam penggunaan swasta yang meningkat sebanyak 5.1 peratus (2023: 4.7 peratus), manakala pelaburan meningkat sebanyak 12 peratus (2023: 5.5 peratus).
Sementara itu, jumlah dagangan meningkat sebanyak 9.2 peratus kepada RM2.88 trilion, dan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih berjumlah RM47.4 bilion (2023: RM40.4 bilion).
Penunjuk sokongan lain yang menyumbang kepada pertumbuhan KDNK 2024 termasuk paras inflasi yang menyederhana kepada 1.8 peratus (2023: 2.5 peratus), dan kadar pengangguran yang rendah pada 3.3 peratus (2023: 3.4 peratus) dengan trend menurun kepada 3.1 peratus pada Disember lalu, iaitu paras terendah dalam tempoh 10 tahun.
Kenyataan itu menambah, Kerajaan Madani telah mengunjurkan ekonomi berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus bagi tahun 2025, didorong oleh limpahan yang lebih besar daripada kitaran menaik teknologi, pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek infrastruktur kritikal dan pemangkin, serta aktiviti pelancongan yang lebih rancak.
“Di bawah Belanjawan 2025, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan secara kolektif telah bertekad untuk melabur RM25 bilion dalam pelaburan langsung domestik untuk tahun pertama daripada lima tahun pelaksanaan Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE