NOTTINGHAM – Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo melaungkan keyakinan anak-anak buahnya mampu memastikan pasukan itu menamatkan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat teratas.
Beliau berkata, sekiranya Forest dapat mengekalkan aksi konsisten sama seperti yang ditampilkan dalam saingan Piala FA, mereka mampu untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Bagaimanapun, Forest perlu memastikan mereka membawa pulang tiga mata menjelang pertemuan menentang Fulham yang dijadualkan berlangsung di Craven Cottage malam ini bagi mengukuhkan cengkaman dalam kelompok empat teratas.
“Jika semua pemain sudah diberikan minit permainan, saya fikir ia akan menjadi lebih mudah untuk kami membawa cabaran dalam saingan Liga Perdana kerana mereka bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sahaja.
“Apa yang penting sekarang adalah kami perlu pastikan semua pemain berada dalam keadaan cergas dan bebas daripada kecederaan. Jika nasib memihak kepada kami, Forest mampu memberikan cabaran,” kata Espirito Santo.
Pada masa sama, pengendali dari Portugal itu menjelaskan, beliau tidak mampu untuk memberikan minit permainan kepada semua pemain kerana objektif pasukan perlu dititikberatkan.
“Sesiapa sahaja yang bekerja keras, mereka akan diberikan peluang untuk bermain. Bagaimanapun, tidak semua akan dapat minit permainan kerana saya mahu pastikan aksi yang lebih stabil,” ujarnya. – AGENSI