PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pindaan terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) merupakan salah satu aspek penting reformasi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pindaan tersebut malah selaras dengan prinsip Madani yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi.
Katanya, Kerajaan Madani akan membentangkan pindaan Akta 736 tersebut di Parlimen pada sesi Dewan Rakyat akan datang.
Ujar beliau, pindaan berkenaan akan mengetepikan keperluan mendapat kelulusan tempat berhimpun untuk sebarang perhimpunan aman.
“Sebaliknya badan atau kumpulan penganjur hanya perlu membuat pemaklumkan kepada polis dalam tempoh lima hari sebelum perhimpunan.
“Ini adalah reformasi penting selaras dengan prinsip Madani yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan menghormati kebebasan bersuara serta berbeza pandangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, keputusan itu bagi mempermudahkan apa jua bentuk perhimpunan kecuali sekiranya perhimpunan itu mencetus ancaman keselamatan.
Kata beliau, sementara menunggu pindaan baharu berkuat kuasa, kerajaan memberi moratarium untuk membolehkan perhimpunan aman berjalan tanpa perlu surat kebenaran pemilik premis. – KOSMO! ONLINE