fbpx

Harga lantai belian padi RM1,500 tambah pendapatan pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawah bakal menikmati harga lantai belian padi RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini. - Gambar hiasan

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.

Menurut Cawangan Komunikasi Korporatnya, penyelarasan itu bukan sahaja berita gembira kepada pesawah, malah ia dapat membantu golongan tersebut menyerap kenaikan kos pengeluaran padi seterusnya menambah pendapatan.

Katanya, para pengguna juga boleh menarik nafas lega apabila jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal kepada RM2.60 sekilogram.

“Bagi mengekalkan harga jualan BPT, Kerajaan Madani memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit BPT dengan kadar berat 10 kilogram (RM26) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berhadapan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim, kenaikan kos dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun Kerajaan Madani sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat.

“Ia dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara. Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi ‘menang-menang’ kepada pihak yang terlibat dalam rantaian industri padi,” ujarnya.

Kata kenyataan itu lagi, dalam Belanjawan 2025, Kerajaan Madani telah menyediakan peruntukan RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian yang bertujuan untuk meringankan beban para pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi.

“Semua pihak juga turut diseru untuk mengenepikan sebarang perbezaan dan perbalahan di samping bersama-sama menyokong segala usaha yang dilaksanakan pihak kerajaan bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa dan ketika.

Kerajaan pada semalam bersetuju membuat penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyelarasan itu mengambil kira kos upah dan kos input pertanian termasuk baja dan racun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI