fbpx

Pelajar tahfiz dibunuh, keluarga desak siasatan dibuka semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruhani (kanan) menunjukkan gambar arwah Wan Ahmad Faris ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bayu Lalang, Pasir Mas semalam. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI/KOSMO!

PASIR MAS – Keluarga kepada seorang pelajar tahfiz yang ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung di dalam tandas di sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas dekat sini kira-kira 12 tahun lalu mendesak agar siasatan semula dijalankan terhadap kes tersebut.

Mangsa, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang merupakan pelajar tingkatan empat ditemui dalam keadaan separuh bogel dan tergantung di tandas asrama pada 14 Disember 2013.

Mayatnya dijumpai oleh penyelia asrama selepas menghidu bau dan hasil bedah siasat ke atas mangsa pada awalnya mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kematian mengejut dan tiada kaitan dengan unsur jenayah.

Keputusan Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 bagaimanapun memutuskan kematian mangsa adalah dibunuh oleh individu yang identitinya belum dikenal pasti.

Ibu kepada arwah, Ruhani Hussin, 70, berkata, dia tetap memperjuangkan nasib anaknya selepas keputusan Mahkamah Koroner Kota Bharu dikeluarkan kira-kira sembilan tahun lalu.

Menurutnya, dia yang merupakan pesara ketua jururawat dan suaminya, Wan Abdul Rahman Wan Yaacob, 74, yang merupakan pesara di Jabatan Veterinar yakin bahawa anak sulungnya itu dibunuh.

“Meskipun kejadian sudah hampir 12 tahun lalu, saya tetap akan memperjuangkan nasibnya demi maruah keluarga saya. Jadi, saya minta agar pihak polis menjalankan siasatan kerana Mahkamah Koroner memutuskan anak saya dibunuh.

“Saya tetap berdoa dan mengadakan solat hajat setiap hari agar Allah SWT menunjukkan kebenaran sekali gus berpihak kepada arwah Wan Ahmad Faris. Saya yakin dia tidak bunuh diri,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Bayu Lalang, di sini, semalam.

Katanya, dia sebelum ini sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Negara agar membuka semula siasatan kes membabitkan anaknya.

“Saya tetap memperjuangkan maruah keluarga. Mahkamah sudah memutuskan arwah bukan bunuh diri sebaliknya dibunuh. Jadi, saya mahu siasatan diteruskan walaupun sudah lama.

“Arwah merupakan pengawas asrama yang diamanahkan untuk menjaga pelajar. Tidak mungkin arwah membunuh diri dan mesti ada yang membunuhnya,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI