fbpx

Kes Avitan Shalom di Penjara Kajang, didengar depan hakim baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Avitan Shalom

KAJANG – Kes lelaki warga Israel Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan berkaitan senjata dan peluru berlangsung di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini.

Hari ini merupakan prosiding pertama kes itu di penjara Kajang bagi pengurusan kes yang mana perbicaraan itu akan didengar di hadapan hakim baharu iaitu Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh.

Sepanjang laluan ke kompleks mahkmah dalam penjara, terdapat kawalan keselamatan ketat
dengan pegawai penjara dan pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) dalam mengawal kawasan itu.

Bagi tujuan keselamatan, wartawan yang telah mendaftar terlebih dahulu dengan pegawai mahkamah, telah disaring di tiga pos pengawal sebelum dibenarkan memasuki kawasan penjara manakala jurugambar dilarang daripada membuat liputan.

Wartawan ditempatkan di kawasan berasingan di mana prosiding ditayangkan secara langsung dan bukannya mahkamah terbuka.

Sebelum ini Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin mendengar kes itu namun hakim tersebut telah berpindah ke mahkamah lain.

Dalam prosiding terdahulu Hakim Norina telah melapangkan perbicaraan kes tersebut berikutan terdapat isu jurubahasa Ibrani yang masih menjadi pertikaian.

Semasa prosiding ketika itu, peguam Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan berkata, pihak pembelaan memohon penangguhan berikutan masalah jurubahasa yang berkemungkinan menimbulkan isu.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam tidak membantah sekiranya perbicaraan ditangguhkan meskipun hari ini pihak pendakwaan bersedia dengan saksi-saksi.

Sebelum ini mahkamah telah menetapkan selama 12 hari bagi perbicaraan kes itu dengan tarikh-tarikh perbicaraan ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada bulan Januari 2025.

Seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.

Avitan, 39, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.

Sebelum ini, isu bahasa menjadi perdebatan hangat apabila Hakim Norina yang mendengar kes dengan tegas “menegur” tindakan lelaki warga Israel Avitan yang memohon khidmat jurubahasa di saat akhir perbicaraan bermula. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI