PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari jumlah masa siaran TV Pendidikan khususnya yang disiarkan di beberapa saluran televisyen ketika ini masih belum mencukupi dengan mengambil kira keadaan semasa.
Menterinya, Dr. Radzi Jidin berkata, pada masa ini, TV Pendidikan bersiaran selama sembilan jam sehari iaitu dua jam di TV Okey, empat jam di Astro Tutor TV dan tiga jam di NTV7.
Beliau berkata, KPM bagaimanapun sentiasa berusaha untuk terus memperkasakan TV Pendidikan dengan pendekatan yang bersesuaian.
“KPM juga sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan pada masa sama, menghargai pandangan dan saranan pelbagai pihak berkaitan TV Pendidikan.
“Sebenarnya KPM telah mewujudkan kembali TV Pendidikan yang disiarkan di televisyen konvensional pada 6 April tahun lalu, iaitu sejurus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Radzi berkata, sebagaimana yang kita maklum, TV Pendidikan di televisyen konvensional yang bermula pada 1972 telah dipindahkan ke dalam talian melalui EduwebTV pada 1 Mac 2008.
Beliau berkata, bermula pada 1 Januari 2009, TV Pendidikan tidak lagi disiarkan di saluran TV konvensional.
Menurutnya, KPM mewujudkan semula TV Pendidikan konvensional bagi membantu murid yang tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim berkata, KPM sedang mengkaji kaedah memperluaskan saluran televisyen sebagai medium sesi PdPR berikutan pandemik Covid-19.
Menurutnya, kementerian sedang merancang supaya jumlah waktu siaran dapat ditambah sekali gus pembelajaran menerusi medium itu boleh sampai kepada murid-murid sekolah.
“Lebih 90 peratus isu rumah memiliki televisyen. Kita sedang lihat bagaimana menambah lagi masa pembelajaran dan program diadakan dengan berkesan,” katanya. – K! ONLINE.