KUALA LUMPUR – Pelakon Rozita Che Wan mengakui kontroversi hutang dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengakibatkan ada dalam kalangan rakan menjauhkan diri.
Rozita, 52, atau lebih dikenali sebagai Che Ta, berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mengejutkan, sebaliknya menyifatkan sudah Allah menunjukkan kebenaran.
“Mestilah ada yang menjauhkan diri. Apabila Allah memberikan ujian kita boleh tengok Allah nak jauhkan kita dengan seseorang, masa itulah dia (kawan) pergi.
“Saya cuma fikir positif sahaja. Setiap sesuatu itu mempunyai hikmah,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di sini, hari ini.
Begitupun, ibu kepada tiga cahaya mata itu lebih selesa tidak memperincikan identiti individu yang dimaksudkan.
Mengulas isu hutang dengan Mara, pelakon drama Kiah Pekasam itu mendedahkan dia kini bebas hutang kecuali pinjaman perumahan.
“Alhamdulillah semua dah selesai. Sudah tiada apa-apa (kaitan dengan Mara).
“Cuma saya masih ada pinjaman bank untuk rumah yang perlu dibayar. Rasanya semua orang pun tidak boleh mengelak dengan komitmen seperti itu,” ujarnya.
Memberi maklum balas berkenaan tindakan berdiam diri sejak hal bersama Mara hangat diperkatakan, Che Ta berkata, kematangan membuatkannya lebih memahami cara menangani setiap isu.
“Saya rasa tak perlu nak tampil atau beri penjelasan kepada sesiapa pun. Saya tiada masalah dengan orang lain. Jadi lebih baik semua saya simpan untuk diri sendiri.
“Mungkin sekarang saya sudah semakin matang terutama dalam menangani perkara membabitkan ahli keluarga, lebih-lebih lagi anak-anak.
“Mereka pun tertanya-tanya bagaimana saya boleh setenang ini. Saya hanya cakap, setiap masalah ada masa untuk berakhir. Allah takkan turunkan ujian kalau kita sebagai hamba ini tak dapat menanganinya. Saya percaya Allah selalu ada,” katanya.
Pada 10 Disember lalu, kediaman Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya diserbu Mara bersama peguam dan wakil mahkamah berikutan dakwaan gagal melunaskan pinjaman bernilai hampir RM1 juta.
Bagaimanapun aktres itu dipercayai sudah membuat pembayaran sebanyak RM 550,000. – KOSMO! ONLINE