ALOR SETAR – Seorang pegawai penguat kuasa direman tujuh hari kerana disyaki menerima rasuah bagi melupuskan diesel bernilai RM87,400 di bawah harga pasaran, tahun ini.
Perintah reman bermula hari ini ke atas suspek berusia lingkungan 50-an dikeluarkan Majistret, Nur Syifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret di sini.
Terdahulu, lelaki terbabit ditahan ketika hadir bagi memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah kira-kira pukul 4 petang semalam.
Menurut sumber, suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun ini dengan menerima rasuah sebagai dorongan untuk melupuskan 46,000 liter minyak pada harga di bawah pasaran iaitu RM1.90 seliter.
Katanya, harga pasaran yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah RM2.95 seliter.
“Pelupusan itu dilakukan ke atas minyak yang merupakan rampasan hasil daripada tindakan penguatkuasaan melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 115(1)(c) Akta Kastam 1967.
“Namun hanya 30,000 liter diikrarkan sebagai pelupusan, manakala bakinya disyaki dilupuskan tanpa diikrarkan dengan menerima rasuah berjumlah RM30,400 yang dibayar melalui tunai, “ katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE