fbpx

Disiasat, Jalaluddin terima layanan baik daripada SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jalaluddin menerima layanan baik daripada pihak SPRM.

PETALING JAYA – Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan mendedahkan pengalaman memberi keterangan sebagai saksi di Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tidaklah menakutkan seperti yang disangka.

Menurut Jalaluddin, 71, beliau yang dipanggil memberi keterangan selama tiga jam bersama penyanyi Ziana Zain dan angkasawan negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar pada 6 Februari lalu, menerima layanan yang baik daripada pihak SPRM.

“Saya di sana atas jemputan sebagai saksi. Tiada istilah ikut ‘pintu belakang’. Kami diarah untuk tunggu dalam kereta dan selepas itu kami diiringi oleh pegawai SPRM.

“Kita datang rumah orang, jadi kita ikut arahan orang. Saya pun hanya datang sebagai saksi dan beri kerjasama kepada mereka. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.

“Mereka (SPRM) sangat peramah. Sebelum itu SPRM ada hubungi saya tanya berkenaan tarikh untuk beri keterangan sama ada saya sibuk atau tidak.

“Tetapi, kalau saya datang pada waktu itu ada Sheikh Muszaphar dan Ziana Zain. Jadi, saya seronok dapat berjumpa rakan-rakan. Begitulah perasaan saya,” ujarnya yang ditemui pada majlis Tayangan Perdana Ramadan Astro 2025 sebentar tadi.

Dalam pada itu, Jaluluddin mendedahkan beliau telah pun mengambil pendekatan berhati-hati sebelum menerima tawaran untuk menjadi duta syarikat perunding kewangan tersebut yang diterima melalui orang tengah.

Namun, tidak disangka syarikat berkenaan terlibat dalam kes rasuah dan diserbu oleh SPRM. Jalaluddin kemudiannya dihubungi oleh orang tengah memaklumkan beliau perlu ke SPRM untuk beri keterangan.

“Saya sudah berhati-hati dan ada bertanya tentang fungsi dan apa tanggungjawab saya. Dalam fikiran saya tertanya-tanya juga adakah perkara ini semakin serius selepas serbuan.

“Tetapi mereka kata jangan risau sebab saya tidak terlibat apa-apa. Saya sendiri tidak tahu transaksi syarikat mereka. Sebab tugas saya hanya diminta untuk promosi saja. Saya pun tidak mahu cakap lebih sebab kes masih dalam siasatan,” jelas Jalaluddin.

Difahamkan ketiga-tiga selebriti terbabit menerima bayaran sehingga RM400,000 sebagai duta promosi daripada syarikat perunding kewangan tersebut.

Terdahulu, SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dengan pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Dalam operasi itu, sebanyak 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM berhubung sindiket pengubahan wang haram didalangi syarikat perunding kewangan.

Siasatan terhadap selebriti berkenaan susulan penahanan sekurang-kurangnya 27 individu termasuk lapan pengarah syarikat dan 18 pegawai bank oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) dalam Ops Sky hasil kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI