JAKARTA – Penduduk beberapa buah kampung di Tangerang, wilayah Banten gempar dengan insiden pocong jadian yang didakwa mencuri wang milik orang ramai sebelum bertukar menjadi entiti itu, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Berdasarkan video yang dimuat naik di aplikasi X, seorang penduduk berkata, individu tersebut dipercayai pengamal ilmu hitam yang berubah menjadi pocong selepas mencuri duit penduduk.
Video tersebut menunjukkan orang ramai berkumpul di sebuah kawasan pada waktu malam untuk mencari pencuri tersebut kelmarin.
“Modus: Pelaku mencuri wang dan barangan berharga di rumah penduduk sebelum bertukar menjadi pocong dan melarikan diri,” kata keterangan video.
Menurut seorang penduduk yang dikenali sebagai Raden, pencarian pocong itu diteruskan dari dua kampung ke dua lagi kampung lain.
“Jiran saya sudah menjadi mangsa. Dia sedang tidur dan katanya, tiba-tiba dia berasa seperti ditindih, namun tiada sesiapa.
“Dia kemudian melihat pelaku mencuri sebelum melarikan diri ke arah pokok lalu menghilang,” kata Raden kepada portal berita Harian Massa. – AGENSI