PETALING JAYA – Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda utama Kerajaan Madani dengan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan, berkuat kuasa Ahad ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini merupakan penyelarasan kedua dalam tempoh dua tahun selepas kenaikan pertama pada 2023, selepas hampir 10 tahun harga lantai belian padi kekal pada RM1,200.
“Usaha membantu pesawah menjadi antara agenda pertama saya tatkala diberi amanah mengemudi negara.
“Bagi memastikan penyelarasan harga lantai belian padi ini tidak menjejaskan rakyat, Kerajaan Madani memperuntukkan subsidi sekitar RM150 juta kepada pengilang padi, sekali gus memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anwar turut menghargai Padiberas Nasional Berhad (Bernas) atas sumbangan RM60 juta kepada pesawah miskin sebelum ini dan memaklumkan bahawa Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju menyalurkan tambahan RM30 juta bagi menyokong usaha kerajaan membantu golongan tersebut.
“insya-Allah, kerajaan akan menyalurkan peruntukan ini secara terus kepada pesawah-pesawah miskin dalam masa terdekat,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kenaikan itu mengambil kira kos upah dan kos input pertanian termasuk baja dan racun.
Kata beliau, KPKM juga sedang memuktamadkan perundingan untuk membolehkan penyedia perkhidmatan dalam industri padi dan beras turut layak menerima bantuan subsidi diesel di bawah Program Budi Madani. – KOSMO! ONLINE