PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada insiden pukul membabitkan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) di Penjara Sungai Buloh.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Penjara yang menjalankan pemeriksaan susulan dakwaan berlakunya insiden itu.
“Saya terima laporan penuh itu dan insiden memukul itu tidak berlaku,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024 di sini hari ini.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan isteri kepada seorang tahanan Sosma membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, Selangor yang mendakwa suaminya dipukul.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, berkata pihaknya menyerahkan kepada polis bagi melakukan siasatan terperinci.
“Yang berlaku adalah insiden mogok (babit tahanan), bila mogok berhari-hari tidak ambil makanan dan tidak minum air.
“Fizikal badan pun rasa lemahlah. Jadi, bila dibawa ke hospital terpaksa bawa dengan wheelchair dan sebagainya,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE