NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin yang sebelum ini didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada 14 Januari lalu akan memberi keterangan pada prosiding perbicaraan berhubung pertuduhan tersebut esok.
Selain Eda Azrin atau nama sebenarnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dua lagi rakannya iaitu Zuhaira Nasrin, 26, dan Erdieka Mohd. Noor, 33, turut memberikan keterangan pada prosiding itu.
Suami kepada Eda Ezrin iaitu Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama dua lagi rakan, Mohamad Alif Deraman, 33 dan Nor Aida Mamat, 33, selesai memberikan keterangan bagi pertuduhan tersebut.
Mahkamah akan kembali bersidang esok bagi tiga lagi tertuduh termasuk Eda Ezrin.
Pada prosiding perbicaraan hari ini, seorang anggota polis dan dua pekerja Hotel Genting di Sungai Golok dekat sini sudah memberi keterangan semasa perbicaraan.
Terdahulu, tiga anggota polis yang merupakan saksi pendakwaan telah membuat keterangan semasa prosiding pada kelmarin.
Prosiding perbicaraan bagi kes tersebut berlangsung selama tiga hari hari iaitu kelmarin, hari ini dan esok.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, selepas lebih dua bulan direman, Eda Ezrin didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada 14 Januari lalu.
Selain Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi, empat individu iaitu Eridieka, Mohamad Alif, Nur Aida dan Zuhaira turut didakwa atas pertuduhan itu.
Mereka berenam mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Keenam-enam tertuduh bagaimanapun mengaku tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok.
Bagi pertuduhan itu, hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat memerintahkan kesemua tertuduh mengemukakan bukti sebelum perbicaraan dijalankan.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Kesemua tertuduh diwakili tiga peguam yang dilantik oleh keluarga mereka. – KOSMO! ONLINE