HULU TERENGGANU – Dua beranak maut setelah motosikal dinaiki mereka tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Perodua Axia di Kilometer 13 Jalan Gaung – Kuala Ping – Teris berhampiran Kampung Kepah, di sini hari ini.
Kemalangan pada pukul 11.55 pagi itu mengorbankan Nursaidatul Aishah Zakari,36, dan anak sulungnya, Wan Nur Izara Aina Tun Mohd. Khairul,12, akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Seorang lagi anak wanita itu iaitu Tun Nur Ufaira Afifa,9, yang turut membonceng motosikal berkenaan pula mengalami kecederaan dalaman serta patah kaki dan tangan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, tiga beranak yang membonceng motosikal Yamaha Ego Solaris dikatakan dalam perjalanan ke rumah di Kampung Tengkawang dari sebuah kedai runcit di Kampung Kepah di sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki merela dikatakan tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Perodua Axia dinaiki lima pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“Kereta dinaiki kesemua remaja lelaki berusia 19 tahun itu dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan sewaktu melalui jalan berselekoh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Sharudin berkata, mayat Nursaidatul Aishah dan Wan Nur Izara Aina telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, Tun Nur Ufaira Afifa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE