JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri Johor bakal mewartakan tiga lagi ajaran yang didakwa sebagai ajaran agama Islam sebagai sesat pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, sejak 1994 hingga kini, kerajaan negeri telah mewartakan 22 ajaran sebagai ajaran sesat di Johor.
Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dalam menangani isu-isu berkaitan ajaran sesat tanpa sebarang kompromi.
“Ini merupakan tanggungjawab memastikan akidah umat Islam di Johor terpelihara dan keharmonian masyarakat terjaga. Penguatkuasaan dan tindakan perundangan akan terus dilaksana bagi mengekang sebarang penyebaran dan pengamalan ajaran sesat.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM14 juta melalui Jabatan Mufti Johor untuk menubuhkan pusat akademi ASWAJA di Pulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Fared, pembinaan pusat itu berperanan sebagai rujukan masyarakat bagi menyampaikan perkara penyelewangan akidah dan ajaran yang tidak selari dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyah.
“Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM400,000 bagi mewujudkan Pusat Pemulihan dan Rumah Pemurniaan Syariah Islam bagi ushaa pemurnian akidah di Johor Bahru.
“Pusat pemulihan ini bukan sahaja diwujudkan bagi mereka yang terpesong akidahnya tetapi juga menempatkan golongan LGBT agar kembali ke fitrah asal. Kewujudan pusat pemulihan bagi golok itu merupakan yang pertama di Malaysia dan telah beroperasi sepenuhnya pada Julai 2024,” jelasnya.
Antara ajaran yang telah difatwakan sesat di Johor termasuklah Ajaran Azhar Wahab; Millah Ibrahim atau Abraham; Hizbut Tahrir Malaysia; Ajaran Makrifat Ismail Ariffin atau Lepat; Kumpulan Layar Bahtera dan Kumpulan Darul Arqam atau al-Arqam.-KOSMO! ONLINE