KUALA LUMPUR – Perkhidmatan konsultasi secara maya antara inisiatif yang sedang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengatasi isu beban pesakit yang semakin meningkat di hospital kerajaan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, inisiatif Hospital Kluster yang dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepakaran kepada masyarakat luar bandar turut dilakukan.
Kata beliau, KKM juga melaksanakan Hospital Services Outsourcing Program (HSOP) iaitu penyumberluaran pesakit dari hospital KKM ke Kemudahan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) bagi mengurangkan masa menunggu pesakit untuk mendapatkan prosedur tertentu.
“Prosedur dalam perkhidmatan kardiologi, kardiotorasik, nefrologi dan radiologi. Projek kerjasama awam-swasta dilaksanakan bagi mengurangkan masa menunggu untuk perkhidmatan pembedahan.
“Perkhidmatan ‘Value Added Service’ oleh unit farmasi dan Perkhidmatan bagi mengurangkan kesesakan di klinik,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) sama ada kementerian akan meningkatkan kapasiti hab kesihatan dan menggunakan teknologi seperti ‘telemedicine’
Terdahulu, Lukanisman berkata, Sistem Maklumat Hospital (HIS) berasaskan awan (cloud base) di fasiliti kesihatan seluruh negara akan siap sepenuhnya pada 2028.
Menurutnya, pelaksanaan HIS melalui sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) adalah langkah strategik dalam menangani beban pesakit yang terlalu ramai di hospital dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan rawatan.
“HIS adalah usaha kerajaan transformasi sistem kesihatan digital. Ia akan memudahkan perkongsian maklumat antara fasiliti kesihatan yang berbeza,” katanya. – KOSMO! ONLINE