LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengukuhkan komitmennya dalam kerjasama maritim serantau dengan menyertai Eksesais AMAN 2025 yang dianjurkan oleh Tentera Laut Pakistan (TLP) dari 7 hingga 11 Februari lalu di Karachi, Pakistan dan perairan sekitarnya.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut berkata, eksesais dwitahunan itu yang diperkenalkan pada 2007 kini memasuki siri kesembilan dan merupakan penyertaan ketujuh TLDM.
Katanya, Eksesais AMAN 2025 menyaksikan penyertaan aset dan delegasi dari lebih 60 negara menjadikannya salah satu eksesais multilateral terbesar di rantau ini.
“TLDM diwakili oleh KD Terengganu bersama Tim Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Tim Penyelam TLDM yang berkepakaran dalam Explosive Ordnance Disposal (EOD).
“Bertemakan Together for Peace, latihan ini bertujuan memupuk kerjasama dan kestabilan serantau, meningkatkan kesalingoperasian antara angkatan laut yang terlibat, serta menzahirkan komitmen bersama terhadap keselamatan maritim dan usaha menentang ancaman seperti keganasan serta jenayah maritim,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, Eksesais AMAN 2025 melibatkan dua fasa utama iaitu Fasa Pelabuhan iaitu dari 7 hingga 9 Februari dan Fasa Laut (10 hingga 11 Februari).
Menurutnya, sepanjang Fasa Pelabuhan, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan merangkumi Majlis Pembukaan Eksesais di Pakistan Navy Dockyard, AMAN Dialogue di Pakistan Naval Academy, serta aktiviti lain seperti AMAN Sports, International Food Gala and Cultural Show, Table Top Discussions (TTD), International Band Display dan Maritime Counter-Terrorism Demo.
“Semasa AMAN Dialogue, Ketua Delegasi TLDM, Laksamana Muda Datuk Baharudin Wan Md. Nor, Panglima Wilayah Laut 1, telah terpilih sebagai ahli panel dalam sesi keempat bertajuk Blue Economy dengan topik perbincangan Maritime Security Cooperation for Marine Ecosystem Preservation.
“Penglibatan ini dilihat sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan TLDM dalam arena maritim global,” katanya.
Katanya, Fasa Laut pula menyaksikan pelaksanaan beberapa latihan maritim utama seperti International Fleet Review (IFR) yang menghimpunkan semua kapal peserta dalam satu formasi maritim berprestij.
Katanya, Ketua Delegasi TLDM telah diberi penghormatan untuk turut hadir bersama para kenamaan Pakistan menerima tabik hormat semasa IFR.
“Ini merupakan pengiktirafan serta manifestasi kewibawaan TLDM dalam perhimpunan maritim di peringkat antarabangsa kerana tidak semua ketua delegasi diberi peluang sedemikian.
“Dalam demonstrasi Joint Counter-Piracy yang turut dilaksanakan semasa IFR, Tim Paskal TLDM berganding bahu dengan pasukan khas negara lain bagi mempamerkan keupayaan mereka dalam menangani ancaman lanun dan keganasan maritim,” katanya.
Selain itu, katanya, aktiviti seperti Personnel Exchange Programme (PXP) membolehkan pegawai dan anggota berkongsi pengalaman serta membina rangkaian profesional dengan rakan sejawat dari angkatan laut lain.
“Penyertaan TLDM dalam Eksesais AMAN 2025 bukan sahaja mempertingkatkan keupayaan operasi bersama tetapi juga memperkukuh hubungan pertahanan dengan negara serantau dan antarabangsa.
“Penglibatan KD Terengganu serta Tim Paskal dan EOD TLDM dalam eksesais ini mencerminkan komitmen TLDM untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan keselamatan maritim dan kestabilan serantau melalui diplomasi pertahanan dengan rakan strategik,” katanya. – KOSMO! ONLINE