PETALING JAYA – Lebih 10,000 penduduk di sekitar Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur memohon pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak meneruskan projek pembangunan di atas tanah berbukit lot 481446 bersebelahan Apartmen Desa Bangsawan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Apartment Desa Bangsawan, Shamsul Bahari Omar berkata, pihaknya berharap kawasan hijau itu tidak dirosakkan semata-mata untuk meraih keuntungan melalui pembinaan 1,000 unit rumah tambahan.
Tegasnya, tiada keperluan untuk mewujudkan projek perumahan baharu yang akan memberikan kesan buruk kepada penduduk sekitar termasuklah isu kesesakan trafik, keselamatan serta masalah sosial.
Bagaimanapun, Shamsul memberitahu, penduduk di kawasan sekitar tidak menolak sekiranya pembangunan baharu yang diwujudkan memberi manfaat kepada mereka seperti sekolah, kompleks kesihatan dan pusat rekreasi.
“Projek perumahan berkapasiti padat itu dibantah kerana ia menyumbang kepada isu kesesakan apabila pertambahan kenderaan berlaku mendadak termasuk masalah sosial berikutan kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan sekitar.
“Projek berkenaan juga dijangka akan mengancam keselamatan penduduk apabila kerja-kerja menanam cerucuk dimulakan kerana lokasi projek itu terletak di atas bukit selain ia turut menjejaskan kualiti udara,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mulia Fasa 1, Mohamad Nazarallah Mohamad Nasir berkata, lebih 20,000 penduduk setempat akan terkesan sekiranya projek pembangunan tersebut diteruskan.
“Majoriti penduduk membantah dan tidak setuju dengan cadangan projek ini yang dijangka mula dilakukan pada Jun 2025.
“Bantahan daripada penduduk setempat yang diwakili lima persatuan sudah bermula sejak 2018 dan surat bantahan telah pun dikemukakan kepada banyak pihak sepanjang tempoh 2018 sehingga 2020,” katanya.
Jelasnya, surat bantahan dikemukakan semula kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 23 September 2024 diikuti dengan beberapa surat susulan memohon pertemuan, namun belum menerima sebarang maklum balas sehingga kini.
“Minta jaminan pihak kerajaan jika projek pembangunan dilaksanakan, ia tidak akan menjejaskan keselamatan bangunan di kawasan sekitar.
“Sebab sebelum ini, pernah berlaku keretakan dan kerosakan pada struktur rumah apabila dibangunkan projek pembangunan di kawasan yang sama beberapa tahun lalu.
“Jika projek pembangunan ini dilakukan, kami yakin akan lebih teruk kesannya terutama melibatkan Apartmen Desa Bangsawan,” katanya. – KOSMO! ONLINE