PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut tiba-tiba penyampai radio Suria FM, Sharifah Shahirah atau Shiera mengumumkan dia kini tidak lagi bersama stesen radio tersebut setahun selepas rakan regunya, Tyzo meninggalkan stesen yang sama.
Difahamkan pengendali segmen Suria Petang itu tidak menyambung kontraknya yang bakal tamat pada 15 Februari ini selepas tujuh tahun berkhidmat sebagai penyampai radio.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Suria FM, pengunduran Shiera dari stesen tersebut disebabkan dia ingin berehat selain memberi tumpuan kepada perkara berkaitan peribadi.
“Kami menghormati keputusan yang dibuat dan yakin Shiera akan terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Kami amat menghargai segala usaha dan dedikasi beliau dalam menceriakan hari pendengar.
“Pihak Suria FM mengucapkan terima kasih kepada Shiera atas kerjasama baik sepanjang tempoh perkhidmatannya,” tulis kenyataan itu.
Sementara itu, Shiera menerusi hantaran dalam Instagram memberitahu bahawa dia kini mempunyai masa lapang di waktu petang dan terbuka untuk terima sebarang tawaran kerja sebagai pengacara.
“Siapa nak cari ‘emcee’ petang petang beritahu. Saya ‘free’ sekarang. Bukan percuma tetapi berbayar. Selamat menyambut nisfu syaaban,’ tulisnya.
Walaubagaimanapun usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan kenyataan daripada Shiera gagal kerana panggilan tidak dijawab.
Sebelum in, Suria FM turut mengumumkan rombakan dalam susunan penyampai dan segmen di mana segmen Suria Cinta kendalian DJ Lin hanya akan bersiaran pada hujung minggu.
Posisi Suraya Borhan dalam segmen Morning Morning Suria pula akan digantikan oleh Khai Hassan manakala Suraya pula akan mengendalikan segmen hujung minggu.
Penyampai baharu Nur Imanina Mohd Hisham bakal mengendalikan segmen malam menggantikan segmen Suria Cinta. – KOSMO! ONLINE