KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM5.2 bilion, memberi manfaat kepada lebih 400,000 peminjam sejak penubuhannya 25 tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, PTPK terus memainkan peranan penting dalam membiayai latihan kemahiran untuk rakyat dengan sasaran pemberian pinjaman sebanyak RM500 juta kepada sekurang-kurangnya 20,000 peminjam pada tahun ini.
Katanya, pada tahun tahun lalu sahaja, PTPK telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM521.12 juta kepada lebih 25,000 peminjam.
“Sudah tentu, PTPK mempunyai sasaran dan strategi khususnya dalam membiayai program kemahiran tinggi dalam sektor pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.
“Kita tidak harus lupa juga ada golongan masyarakat yang mungkin belum sampai tahap tinggi, kita harus memenuhi keperluan golongan rentan tersebut dalam semua ekosistem,” katanya ketika berucap pada Peluncuran Kempen Promosi Bayaran Balik PTPK 2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Steven Sim turut mengumumkan PTPK mencatatkan kutipan balik pinjaman tertinggi dalam sejarah dengan jumlah RM234.81 juta pada tahun lalu, meningkat lebih 50 peratus berbanding RM157.29 juta pada 2023.
“Kutipan ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan oleh PTPK dan membuktikan keberkesanan strategi pengurusan dalam memastikan dana pinjaman dapat terus digunakan untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya.
Jelasnya, pada tahun ini, PTPK optimis menyasarkan kutipan balik pinjaman berjumlah RM450 juta.
“Saya yakin dengan kepimpinan serta strategi yang dirangka, PTPK mampu mencapai sasaran ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE