PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memastikan segala usaha memartabatkan bahasa Melayu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris kekal dipertingkatkan bagi mengikuti keperluan semasa.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, usaha untuk memperkasa bahasa Inggeris bukan sahaja terhad di dalam bilik darjah malah merangkumi latihan guru dalam perkhidmatan.
Beliau berkata, inisiatif seperti Dual Language Program Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 2016 merupakan reformasi pendidikan bagi mengukuhkan bahasa Inggeris di kesemua sekolah.
“KPM ada juga mengadakan Program Imersif Tinggi (HIP) yang memfokuskan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah.
“Selain itu, kita turut ada program Professional Upskilling of English Language Teachers (Pro-ELT). Kesemua usaha ini akan diteruskan dan tetap akan dipertingkatkan untukmengikuti keperluan semasa,” katanya dalam sidang akhbar Perpindahan Sekolah Jenis Cina LEE MIN di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan usaha mereformasi dasar dan institusi di negara ini masih di peringkat lama serta memerlukan pembaharuan dari segi pelaksanaan kaedah.
Anwar berkata, mengambil contoh pemerkasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah, kaedah lama dalam melaksanakan dasar kerajaan berkaitan usaha itu, perlu diubah.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata KPM telah merancang penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk diaplikasikan bukan sahaja dalam pengajaran dan pembelajaran malah pengurusan sekolah juga.
“Seperti yang sudah sebut di Parlimen semalam, penggunaan aplikasi AI bagi pengesanan murid-murid cicir. KPM akan terus pastikan hala tuju dan perancangan selari dengan perkembangan teknologi sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak KPM sedang memuktamadkan pelan pembangunan pendidikan 2026 dengan mengambil kira perkembangan teknologi AI.
“Pelan yang ada sekarang akan berakhir hujung tahun ni. Kita ambil kira semua perkara termasuk perkembangan teknologi AI supaya murid yang dilahirkan bersedia untuk masuk ke dalam dunia pekerjaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE