fbpx

Lelaki maki polis didenda RM100

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (depan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO! ONLINE

SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang sebelum ini tular di media sosial kerana memaki anggota polis dalam op bersepadu sempena Tahun Baharu Cina Isnin lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini hari ini.

Chian Tee Seong,50, mengaku bersalah selepas pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata kurang terhadap Koperal Ahmad Azraiz Bokhori, 37, dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk menganggu keamanan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lorong motosikal menghala Jambatan Pulau Pinang dalam daerah Seberang Perai Tengah, pada 10 malam,10 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil Tahun 1955 yang membawa kepada denda maksimum RM100 jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurshakila Dahari memohon hukuman setimpal diberikan kepada tertuduh sebagai pengajaran.

Bagaimanapun, Tee Seong yang diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), V. Pushpa memohon denda minima atas alasan anak guam menyesal akan perbuatannya.

Selain itu, Pushpa memaklumkan anak guamnya yang juga pekerja pengurusan pengebumian perlu menyara isteri dan ibunya yang uzur dengan pendapatan bulanan RM2,000.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap tertuduh dan tujuh hari penjara jika gagal membayar denda terbabit.

Sementara itu, di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberikan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine kepada dirinya.

Dia diakwa melakukan kesalahan itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah pada 28 Ogos 2023 dan 10 Februari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan
14 April depan sebagai sebutan semula kes bagi laporan patologi serta lantikan peguam.

Isnin lalu, Kosmo! melaporkan tindakan lelaki memaki hamun penguat kuasa dengan kata-kata kesat bawa padah selepas dia ditahan polis kerana menghalang tugas penjawat awam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI