KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan kemudahan yang disediakan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) untuk proses rawatan pesakit di negeri ini hanya mampu bertahan selama dua bulan sahaja.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, jangkaan itu dapat dilihat berdasarkan jumlah peningkatan sebanyak lebih 100 kes setiap hari yang dilaporkan di negeri ini.
Katanya, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) Covid-19 di Kelantan adalah 1.26 dan ia melebihi bacaaan Rt kebangsaan iaitu 1.14.
“Sekiranya kes di Kelantan semakin meningkat, kita bimbang jangkitan Covid-19 di negeri ini juga akan meningkat. Keadaan itu menyebabkan kemudahan yang ada di hospital dan PKRC tidak mampu untuk menampung keperluan pesakit yang mendapatkan rawatan.
“Setakat ini, lapan buah hospital serta empat PKRC iaitu tiga di Kota Bharu termasuk Dewan Jubli Perak, Kolej Kejururawatan Kota Bharu dan Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) dan satu di Gua Musang telah disediakan untuk menempatkan pesakit Vovid-19.
“Sebagai persediaan awal, kita sedang mencari beberapa buah dewan yang boleh dijadikan PKRC untuk menempatkan pesakit yang menghidap gejala pada tahap rendah agar segala masalah berkaitan kemudahan ini dapat diatasi. Selain itu, ada juga pesakit yang dibenarkan kaurantin di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketik ditemui pemberita selepas Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19 di PKRC Putik, Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Mahadi Awang.
Terdahulu, Ahmad Fathan menyampaikan sumbangan berup barangan keperluan termasuk makanan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di PKRC Putik, Pengkalan Chepa.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, setakat ini, kakitangan JKNK yang bertugas bagi menguruskan kes Covid-19 masih mencukupi.
Katanya, sekiranya keadaan memerlukan, kakitangan yang dihantar bertugas di luar Kelantan akan dipanggil kembali ke negeri ini.
Tambahnya, JKNK juga akan memastikan petugas tidak menghadapi tekanan kerana terlalu penat sewaktu bertugas malah mereka juga akan diberi kaunseling setiap masa. – K! ONLINE.