PETALING JAYA – Drama fenomena sarat duka dan air mata kecewa, Curang Tanpa Niat, bakal melabuhkan tirai malam ini.
Selepas berminggu-minggu memegang hati penonton dengan konflik cinta, pengkhianatan dan dilema rumah tangga, episod terakhir ini bakal menjadi klimaks yang tidak boleh dilepaskan Drama arahan Eyra Rahman itu mencuri tumpuan dengan jalan cerita padat emosi, membabitkan isu cinta, pengkhianatan, dan dilema hubungan.
Pelakon hebat
Barisan pelakon hebat seperti Shukri Yahaya, Mira Filzah, dan Sharifah Sakinah menambah ‘bumbu’ yang menjadikan naskhah itu tular sejak episod pertama. Tidak sekadar memaparkan lakonan mantap barisan pelakon hebat, Curang Tanpa Niat juga mencipta gelombang perbincangan hangat dalam media sosial. ‘Chemistry’ antara pelakon-pelakon itu cukup sempurna, menjadikan setiap konflik terasa hidup. Bukan sahaja gandingan para pelakon utama yang mengesankan daripada Shukri Yahaya, Mira Filzah dan Sharifah Sakinah, pakej drama ini juga dilengkap dengan emosi padat daripada Fadlan Haziim, Fauzi Nawawi, Hasnul Rahmat, Kaza dan ramai lagi.
Mira Filzah Ratu Air Mata
PERNAH dianggap sebagai Malaysia’s Sweetheart, pelakon Mira Filzah kini diberi jolokan Ratu Air Mata impak daripada Curang Tanpa Niat malah ini merupakan kemunculan kembali Mira Filzah dalam slot Mega Drama Astro.
Drama viral & trending 2025
Menjadi naskhah viral dan trending, paling ketara apabila pelakon kanak-kanak yang membawakan watak abang Azriel lakonan Qaiszerr Eshan, telah berjaya membuatkan satu Malaysia menangis dengan lakonan dan penghayatan dirinya sebagai anak.
Eshal, Astrid pasangan paling dibenci
Menerusi Curang Tanpa Niat, dua pelakon Shukti Yahaya dan Sharifah Sakinah beroleh status tersebut hasil respons daripada penonton juga peminat drama tempatan Malaysia.
Skandal Office Wife/Husband
Isu yang diangkat melalui drama Curang Tanpa Niat iaitu ‘office wife’ telah membuka mata masyarakat dan dipaparkan dengan berani. Melalui komentar-komentar yang diberikan dalam laman sosial, para suri rumah turut bersuara tentang isu tersebut. Dilema suri rumah yang diangkat dalam drama ini menarik perhatian penonton sama ada isteri sebagai hamba atau patut dimanja.
Lagu runut bunyi trending
Lagu runut bunyi drama ini iaitu Tergamak telah menjulang nama Nadeera dan mempamerkan vokalnya yang mantap. Lagu ini turut mendapat perhatian ramai selebriti Malaysia yang menyanyikan semula lagu ini dalam versi mereka. Antaranya Dato Sri Siti Nurhaliza dan Misha Omar. Lagu tema Bukan Lagi Kita, nyanyian Nadeera yang mendayu-dayu sekali gus membuatkan drama tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Lagu tersebut menjadi fenomena tersendiri dan sering diputarkan di pelbagai platform digital
Episod akhir Curang Tanpa Niat bakal disiarkan pada pukul 10 malam ini menerusi Astro Ria. – KOSMO! ONLINE