KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada mana-mana negara dalam dunia tidak memiliki undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menurut beliau, undang-undang yang keras dan teras diperlukan kerana tiada mana-mana negara dalam dunia terkecuali daripada ancaman pengganas.
“Tiada negara terkecuali daripada ancaman pengganas. Soal pengganas di Malaysia jangan di pandang ringan. Ada polis ditembak mati dan orang itu jelas bahawa dia melakukan ini sebagai `tanggungjawab’ dia untuk membunuh polis dan berikutnya pimpinan lain.
“Kalau kes-kes seperti itu jalurnya sudah tentu undang-undang yang keras dan tegas. Tiada di dunia yang sekarang ini tidak mempunyai undang-undang begitu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) sama ada kerajaan bersedia untuk mengkaji semula atau menghapuskan terus SOSMA.
Anwar berkata, beliau namun bersetuju undang-undang berkaitan SOSMA perlu jelas supaya tidak disalah guna untuk isu lain seperti yang berlaku terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.
“Sementara kita menyokong kebebasan dan demokrasi, kita harus bezakan tentang masih ada unsur membawa kepada keganasan yang memerlukan satu undang-undang yang agak lain daripada kaedah lain yang dikenakan sekarang,” katanya. – KOSMO! ONLINE