JASIN – Suami kepada wanita dan empat anak mereka yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, Serkam dekat sini sempat menjerit menyuruh keluarganya berlari keluar menyelamatkan diri.
Menurut saksi, Ab. Kahar Ahmad, 70, ketika kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, dia yang menetap bersebelahan rumah mangsa terdengar suara riuh-rendah sebelum terlihat api mula keluar dari tingkap rumah berkenaan.
Katanya, dia kemudian cuba memadamkan api, namun gagal sebelum meminta anaknya menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
“Saya dengar suara mangsa lelaki menjerit minta isteri dan anak-anaknya keluar selamatkan diri, memang ada bunyi tapak kaki orang berlari-lari tetapi tidak keluar.
“Apabila saya keluar rumah saya nampak suaminya sudah tersandar di pokok di pekarangan, isteri serta anak-anaknya tiada kerana mereka terperangkap disebabkan semua pintu mempunyai jeriji dan berkunci,” ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Jelasnya, lelaki tersebut terselamat selepas penduduk kampung membantu mengeluarkannya melalui tingkap rumah.
“Isteri dan anak-anaknya memang tak dapat nak tolong kerana api marak dengan sangat cepat kerana binaan bahagian atas rumah adalah kayu, hanya bawah sahaja simen.
“Sebelum kejadian enam beranak itu baru sahaja terlibat dalam kemalangan di Alor Gajah, namun hanya si bapa yang tercedera manakala isteri serta anak-anaknya hanya mengalami luka-luka,” katanya.
Tambahnya lagi, keluarga tersebut hanya menyewa di rumah berkenaan dan menetap sejak tiga tahun yang lalu. – KOSMO! ONLINE