WASHINGTON – Polis meminta orang ramai membantu memburu ‘suspek’ luar biasa berupa seekor emu, lapor portal berita United Press International (UPI) semalam.
Polis berkata, emu itu kali terakhir dilihat di Lebuh Raya 6, berhampiran sebuah kedai koperasi dan pengedar kenderaan Hyundai di bandar Batesville, Mississippi baru-baru ini.
Pihak berkuasa itu mengeluarkan poster suspek yang dikenali sebagai ‘Emu the Great’.
Burung asal Australia itu dikehendaki kerana melarikan diri daripada ‘jenayah’ dan berkelakuan mengganggu ketenteraman, demikian menurut keterangan poster tersebut.
“Sila berhati-hati jika anda bertemu dengan ‘suspek ini’.
“Emu ini akan ‘menyerang’ sesiapa sahaja yang menghalang kebebasannya,” demikian menurut amaran polis pada poster tersebut.
Polis turut meminta sesiapa yang melihat emu itu supaya tidak membunyikan hon kereta mereka.
“Jika anda melihatnya, sila maklumkan kepada kami. Kami akan berhubung dengan pemiliknya,” kata polis. – AGENSI