fbpx

‘Pernah tak tentu arah, suami bawa saya ke wad psikiatri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAHNITA mencari ketenangan dengan mendekatkan diri pada Allah. Foto - ISKANDAR ISHAK

BANGI – Mengalami kemurungan kronik, model dan pelakon sensasi Zahnita Wilson mengakui pernah ‘menyerah diri’ ke wad psikiatri di sebuah hospital pada tahun 2019.

Bagaimanapun, Zahnita atau nama lengkapnya, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 40, berkata, dia menghentikan hasrat tersebut selepas melihat keadaan lebih 50 pesakit lain yang jauh lebih teruk berbanding dirinya.

Terus terang saya pernah ke wad psikiatri di mana ketika itu saya berada pada tahap terendah dalam hidup sehingga merasakan perlu ditahan di wad berkenaan.

“Tetapi apabila saya sampai di wad tersebut, saya tengok keliling ada ramai pesakit lain yang menunggu giliran malah keadaan mental mereka jauh lebih teruk daripada saya.

“Jadi saya rasa saya tidak patut berada di sana sebab saya tak seteruk mereka seterusnya saya pilih untuk berpatah pulang ke rumah,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

Zahnita yang diumumkan sebagai wajah NR Cosmetics bagi kempen Syawal 2025 mengakui hilang arah pada waktu itu sehingga perlu mendapatkan bantuan pakar psikiatri.

Tambah ibu kepada anak itu, selepas balik dia cuba mencari ketenangan dengan lebih mendekatkan diri pada Allah SWT.

“Mungkin kerana saya hilang arah pada waktu itu.

“Saya mencari ketenangan dengan membaca al-Quran dan berdoa pada Allah,” ujarnya.

Menurut Zahnita lagi, suaminya, Abdul Zackery, 47, adalah individu yang membawanya ke wad psikiatri bagi membantu model itu kembali pulih daripada kemurungan.

“Dia (Abdul Zackery) ialah orang yang bawa saya ke wad psikiatri berkenaan.

Mungkin ketika itu dia nampak saya memang berada di tahap terendah seperti tidak tentu arah.

“Jadi dia cuba untuk mencari orang yang boleh bantu saya dengan segera,” ujarnya.

3 Disember 2024, Zahnita nekad memfailkan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang susulan pendedahan dirinya berdepan penderaan domestik.

Abdul Zackery ditahan pada hari sama bagi membantu siasatan namun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang atas pertuduhan melakukan kecederaan terhadap isteri.

Suaminya pula menyatakan mangsa keganasan sebenar adalah dirinya, bukan selebriti terbabit bahkan dedahnya Zahnita meminta cerai daripadanya sepanjang 20 tahun mereka berkahwin.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata, Zahrafeena, 18, Zasharayna Ghouse, 13, Zahlia Syawwal, 8 dan Abd Zayden Ghouse, 4 tahun.

Dalam perkembangan lain, Zahnita dilantik menjadi duta bagi kempen raya 2025 untuk produk NR Cosmetics yag juga duta pertama syarikat terbabit selepas lapan tahun beroperasi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI