WASHINGTON – Dua kanak-kanak meninggal dunia di dalam sebuah kenderaan yang kehabisan petrol ketika suhu menjadi sangat sejuk di Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Metro UK semalam.
Mangsa yang masing-masing berusia dua dan sembilan tahun, tinggal bersama ibu dan tiga adik-beradik mereka di dalam sebuah van mini yang diletakkan di luar sebuah hotel di Greektown, Detroit.
Mereka berhenti di tempat letak kenderaan sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) sebelum kemudian van itu kehabisan petrol.
Seorang pegawai polis, Kapten Nathan Duda berkata, si ibu menghubungi seorang rakan untuk membawa anak lelakinya yang berusia sembilan tahun ke hospital selepas mendapati mangsa tidak bernafas.
Semasa budak lelaki itu berada di hospital, adik perempuannya yang berusia dua tahun dan berada di dalam van pula tidak bernafas. Dia ketika itu dijaga oleh nenek mereka dan dihantar ke hospital.
“Kedua-dua kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di hospital dengan petunjuk awal menunjukkan mereka mati kerana suhu membeku,” kata Duda.
Polis kemudian menahan ibu kanak-kanak tersebut dan kes itu sedang disiasat. – AGENSI