PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengikatkan kepada semua rakyat agar lebih berhati-hati dalam menghadapi cuaca panas ketika ini.
Jelas Ahmad Zahid, negara kini berada dalam fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac 2025.
“Dalam tempoh ini, hujan semakin berkurang di banyak tempat terutamanya di utara Semenanjung, menyebabkan cuaca lebih panas dan kering. Suhu harian boleh mencecah lebih 35°C, khususnya pada waktu tengah hari.
“Justeru, saya ingin menyeru semua untuk lebih berhati-hati dalam menghadapi cuaca panas ini. Kurangkan aktiviti luar yang boleh mendedahkan diri kepada suhu tinggi, banyakkan minum air untuk kekal hidrasi dan gunakan air secara berhemat bagi mengelakkan pembaziran,” jelasnya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Kata Ahmad Zahid, beliau juga ingin menekankan kepentingan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka, kerana ia boleh mencetuskan jerebu serta meningkatkan risiko kebakaran hutan.
“Saya doakan agar kita semua dilindungi daripada sebarang kesan buruk akibat cuaca panas ini. Sama-sama kita ambil langkah berjaga-jaga dan terus peka dengan perkembangan cuaca terkini.
“Jaga diri, jaga kesihatan dan semoga kita semua sentiasa dalam lindungan-Nya,” tulisnya lagi. – KOSMO! ONLINE.