BERADA pada titik terendah dalam hidupnya, pendakwah bebas, Da’i Syed mendedahkan tidak menerima sebarang tawaran lakonan sejak terpalit dengan kes mahkamah tahun lalu.
Menurut Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful Jamalullail, walaupun sepi daripada sebarang kerja seni, dia tidak mengejar apatah lagi untuk mengemis sebarang tawaran.
“Buat masa sekarang bukan dalam fasa berehat pun, jadi saya hanya tunggu sahaja sebarang tawaran yang hadir sebab tiada kuasa untuk pergi melobi atau sebagainya.
“Walaupun tiada tawaran dalam bidang seni, saya dan isteri masih ada perniagaan menjual batu permata dari Mesir.
“Walaupun Allah SWT tidak memberikan rezeki di cabang ini, Dia akan beri untuk benda lain.
“Namun, saya masih terbuka untuk menerima rezeki dalam bidang seni,” katanya kepada HibGlam pada malam gala filem Dajal baru-baru ini.
Ditanya mengenai usahanya meyakinkan pihak stesen televisyen atau rumah produksi untuk mengambilnya dalam mana-mana program, Syed menegaskan dia tidak akan berubah menjadi individu lain semata-mata mahu mengejar peluang kerja.
Jelas Syed, namanya juga tidak ‘digam’ atau disekat oleh mana-mana pihak.
“Saya masuk industri ini dari 2016 untuk sampaikan dakwah dalam nyanyian atau lakonan.
“Bagaimana untuk yakinkan orang? Saya tetap jadi diri sendiri dan tak akan berubah menjadi orang lain.
“Buat masa sekarang hanya berserah sahaja dan tak mengejar sebarang tawaran.
“Saya profesional, kalau diamanahkan untuk lakukan sesebuah watak, saya akan buat sehabis baik,” ujarnya.
Anak
Ditanya mengenai kehidupannya sebagai bapa kepada Sharifah Fatma Nour Jamalullail, Syed bersyukur diberi kesempatan untuk memanfaatkan hari-harinya dengan puteri kesayangannya hasil perkahwinan dengan Hana Ismail.
“Benarlah masa itu emas dan saya banyak habiskan masa bersama anak ketika ini.
“Kalau boleh, saya tak mahu terlepas waima satu saat dan mahu melihat dia membesar depan mata.
“Alhamdulillah, saya tak dapat tawaran kerja tetapi dapat tawaran dari Allah untuk lihat anak membesar,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman selepas enam bulan bergelar bapa, Syed berkata, dia belajar erti sebenar tanggungjawab.
“Perubahan besar selepas bergelar seorang ayah ialah tanggungjawab.
“Kini saya menumpang rezeki isteri dan anak,” katanya lagi.
Dajal: Satu Malam Dipedajal
Meski hanya memegang watak sampingan iaitu sebagai Ustaz Isyak dalam filem Dajal: Satu Malam Dipedajal, Syed tetap bersyukur masih diberi kesempatan untuk berdakwah dalam naskhah seni.
“Alhamdulillah, filem ini pembuka rezeki buat saya bagi tahun 2025.
“Sejujurnya, saya memang tiada tawaran kerja sebelum ini. Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih kepada MIG dan pengarah kerana sudi menerima saya.
“Dalam filem dajal ini saya melakonkan watak ustaz. Boleh dikatakan ini salah satu usaha usaha dakwah yang boleh dilakukan dalam banyak perkara,” tuturnya.
Selain Syed, filem arahan Pierre Andre yang sudah ditayangkan sejak 6 Februari lalu itu turut dibintangi Amir Nafis, Bidin Alzaifa dan Khatijah Tan dan Jay Iswazir.