JOHOR BAHRU – UDA Holdings Berhad (UDA) membantu 200 murid sekolah di sekitar Johor Bahru menyediakan kelengkapan sekolah bersempena Program UDA Cares: Back to School 2025 @ South yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall baru-baru ini.
Melalui program tersebut, setiap pelajar yang dipilih dari 10 buah sekolah sekitar wilayah pembangunan UDA menerima kelengkapan persekolahan seperti pakaian dan kasut sekolah bernilai RM300 selain sumbangan beg sekolah, alat tulis, pensel warna dan bekas minuman.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Encik Zahrin Zakaria berkata, ini adalah sebahagian inisiatiif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat bagi membantu meringankan beban keluarga pelajar yang kurang berkemampuan.
“Program ini selari dengan komitmen UDA dalam menyokong kesejahteraan komuniti, khususnya bumiputera dan ia diharap dapat memberi semangat serta menceriakan pelajar untuk memulakan sesi persekolahan tahun baharu dengan lebih selesa,” katanya pada tersebut.
Turut hadir Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd. Nazri Jamiran; Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh dan Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn. Bhd., Ismail Dasuki.
Sebelum ini, UDA turut menyumbang beg sekolah dan alat tulis kepada 102 pelajar di Sandakan, Sabah serta 200 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bahaman, Lanchang,Pahang.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks UDA, Rafidah Yussuf berkata, program ini sangat membantu terutamanya bagi keluarga asnaf.
“Bantuan seperti ini sangat membantu keluarga menyediakan kelengkapan sekolah yang akan dibuka tidak lama lagi, sekali gus ia membantu meringankan beban keluarga ini untuk menghadapi Ramadan dan Syawal,”katanya.
Dalam pada itu, Guru Besar SK Sri Kenanga, Souib Hamad berharap, program CSR seperti ini harap dianjurkan lagi masa depan.
“Mungkin UDA boleh menambah jumlah penerima bantuan agar lebih ramai murid asnaf dapat merasai kegembiraan memakai pakaian sekolah baharu,” katanya. -KOSMO! ONLINE