PETALING JAYA – Kegembiraan 14 beradik dari Terengganu untuk menyambut ahli keluarga ke-18 bertukar duka apabila bukan sahaja kehilangan adik bongsu yang bakal dilahirkan, malah menyebabkan ibu mereka bergelar orang kurang upaya (OKU) akibat komplikasi ketika bersalin.
Anak ketujuh, Afiqah Nasuha Ibrahim, 29, berkata, kejadian pada 2010 yang menimpa ibunya, Che Wan Maimun Che Wan Malim yang ketika itu berusia 44 tahun berlaku beberapa hari sebelum ketibaan Ramadan.
Kata Afiqah, doktor memaklumkan ibunya mengalami amniotic fluid embolism (AFE) apabila air ketuban memasuki saluran darah sehingga menyebabkan jantung wanita itu terhenti selama 10 minit.
“Sepatutnya kami ada 18 beradik tapi tiga keguguran dan seorang lagi meninggal disebabkan komplikasi tersebut. Umi ketika itu dibawa masuk ke dewan bersalin dalam keadaan sihat dan sempat solat zuhur dahulu.
“Setengah jam kemudian, kejadian itu berlaku. Umi koma sebulan, malah turut hilang ingatan dan diserang sawan setiap bulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Kata Afiqah, ayahnya, Ibrahim Abdullah, seorang peniaga mengambil tanggungjawab membesarkan mereka 14 beradik selain mengambil alih tugasan menjaga adik paling kecil yang ketika itu berusia dua tahun.
“Umi tidak mampu urus diri. Jadi selain ayah, kami adik-beradik juga bersilih ganti mengurus umi termasuk tukarkan lampin dan sebagainya,” katanya.
Katanya, walaupun 2010 menjadi Ramadan paling sayu mereka sekeluarga, namun masih ada kenangan manis yang ditinggalkan wanita itu untuk dikenang.
“Kami sekeluarga tetap bersyukur kerana sempat menggayakan pakaian raya terakhir dijahit ibu untuk semua ketika dia sarat mengandung. Hebat umi, siap jahit semua baju raya ketika sarat mengandung.
“Dapatlah kami beraya dengan baju raya terakhir hasil tangan umi. Setiap tahun, umi suka jahit semua baju kurung dan baju Melayu untuk kami sekeluarga. Namun pada tahun itu juga tanpa umi, kami mula belajar sendiri masakan raya,” kongsinya.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/Wan-Maimun-kanan-59-dijaga-rapi-oleh-Ibrahim-72-dan-14-anak-anaknya-sehingga-kini..jpg)
Pernah berkongsi kisah ibunya di media sosial, Afiqah mengakui tidak terkesan dengan kecaman netizen terhadap ayah mereka yang dikatakan tidak bertimbang rasa membiarkan isteri melahirkan ramai anak memandangkan dia dan adik-beradik dibesarkan dengan sempurna.
“AFE boleh berlaku tidak kira lahirkan anak ke berapa pun dan umi bukan dipaksa mengandung. Kami tidak pernah diabaikan malah umi dan abah dah lakukan yang terbaik dari segi kasih sayang, kemudahan, didikan dan sebagainya.
“Sehingga kini pun, abah masih lagi menanggung anak-anak yang bersekolah menengah dan di universiti. Jadi apa saja kecaman, tidak menjejaskan kami kerana ia adalah pendapat mereka sendiri,” jelasnya.
Mengulas tentang kejadian seorang lelaki OKU mental yang dibelasah beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai baru-baru ini, Afiqah mengakui terkesan memandangkan dia dan keluarga juga sedang menjaga ahli keluarga yang OKU.
Oleh kerana itu kata Afiqah, dia mula memuat naik video berkaitan ibunya untuk memberi kesedaran awal tentang OKU mental yang bukan sahaja memerlukan perhatian keluarga, malah masyarakat juga.
Ditanya tentang cabaran paling besar ketika menjaga ibunya kini Afiqah berkata, dia terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu selang seminggu sebagai rutin dengan izin suami.
“Agak mencabar kerana perjalanan yang jauh tambahan saya sendiri baru sahaja kemalangan Disember tahun lepas namun saya perlu jaga umi dengan baik sebagaimana dia sudi jaga kami sekeluarga sepenuh hati.
“Apa pun ada hikmah di sebalik kejadian itu yang mana hubungan kami sekeluarga bertambah erat,” luahnya. – KOSMO! ONLINE