PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berazam untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Ketika ini, Malaysia mengekalkan kedudukan ke-57 secara global.
SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil maklum pengumuman Transparency International Malaysia (TI-M) berhubung keputusan CPI 2024 yang menyaksikan negara mengekalkan skor 50.
“SPRM menyokong penuh kenyataan Ketua Setiausaha Negara dan menegaskan keazaman untuk bersama meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI.
“Sebagai agensi utama dalam membanteras rasuah, SPRM akan terus memperhebat penyiasatan serta inisiatif pencegahan dan pendidikan lebih berkesan,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, SPRM melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) yang berperanan sebagai urus setia kepada Pasukan Petugas Khas CPI akan terus meneliti dapatan survei bagi mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.
“SPRM juga akan mempergiat kerjasama dengan semua pemegang taruh termasuk kementerian, sektor swasta, masyarakat sivil serta Transparency International Malaysia.
“Usaha mempertingkatkan CPI bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan tetapi juga memerlukan usaha sepadu daripada semua pihak,” katanya.
Justeru, SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan kerjasama serta memainkan peranan masing-masing untuk menambahbaik strategi pencegahan dan memperkukuh tadbir urus.
Katanya, ia demi mencapai sasaran kerajaan meletakkan Malaysia dalam kelompok 25 negara terbaik dunia menjelang 2033. – KOSMO! ONLINE