LONDON – Seorang lelaki nekad membeli sebuah tapak pelupusan sampah di Wales, United Kingdom selepas dia kehilangan sejumlah besar Bitcoin secara tidak sengaja, lapor laman berita Sky News semalam.
Pekerja sektor teknologi maklumat (IT), James Howells, 39, berkata, kejadian berlaku apabila bekas teman wanitanya membuang cakera keras yang mengandungi beribu-ribu Bitcoin miliknya pada 2013.
“Bitcoin itu dianggarkan bernilai lebih £600 juta (RM3.3 bilion) dalam pasaran hari ini.
“Saya mahu membeli tapak itu sebelum ditutup oleh Majlis Bandar Raya Newport supaya saya boleh mencari harta yang hilang ini,” kata Howells.
Howells membawa kes itu ke mahkamah, namun pada bulan lalu, hakim tidak memihak kepadanya.
Dalam samannya, Howells meminta dia dibenarkan menggeledah tapak pelupusan sampah itu atau pihak dewan bandar raya membayar pampasan sebanyak £495 juta (RM2.7 bilion) kepadanya.
Pihak pentadbiran Newport memberikan hujah di mahkamah bahawa penutupan tapak pelupusan itu semata-mata untuk membolehkan Howells mencari Bitcoin miliknya akan memberi kesan buruk kepada penduduk setempat.
“Saya menjangkakan tapak tersebut akan ditutup beberapa tahun lagi tetapi tidak menyangka ia secepat ini.
“Sekiranya Majlis Bandar Raya Newport bersedia, saya berminat untuk membeli tapak pelupusan itu dan telah membincangkan pilihan ini dengan rakan kongsi pelaburan saya,” tambah Howells. – AGENSI