MANCHESTER – Pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti enggan mendabik dada selepas melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Manchester City pada aksi playoff pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Etihad, The Galacticos yang turun selaku juara bertahan, membawa bekalan tipis selepas bangkit daripada ketinggalan 1-2 apabila meledak dua gol di penghujung saingan hasil penyudah Brahim Diaz dan Jude Bellingham.
Menurut Ancelotti, pujian wajar diberikan kepada semua pemain kerana memberikan sepenuh tenaga untuk memastikan pasukan dapat melakar kemenangan penting selain mencipta banyak peluang sepanjang saingan.
“Saya rasa kami bermain dengan baik sepanjang 90 minit perlawanan dan dapat membawa bekalan berharga ke Madrid. Jika kami kekalkan momentum ini, mungkin boleh melangkah ke pusingan seterusnya.
“Kami layak untuk menang dan pujian perlu diberikan kepada semua pemain yang mencipta banyak peluang untuk bangkit daripada ketinggalan. Jentera serangan pasukan juga begitu tajam kali ini,” katanya.
Sementara itu, bintang sensasi Real, Vinicius Junior yang menerima anugerah pemain terbaik perlawanan (MVP) mengakui cemuhan peminat tuan rumah secara tidak langsung melonjakkan motivasinya untuk memberikan sepenuh jiwa di atas padang.
“Saya melihat sepanduk yang dibuat penyokong tuan rumah dan mendengar ejekan mereka sepanjang perlawanan.
“Ia menaikkan lagi semangat saya untuk beri yang terbaik dan saya gembira dapat membantu pasukan melakar kemenangan penting,” katanya. – AGENSI