fbpx

Trump mahu Ukraine ‘bayar’ balik bantuan ketenteraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Relau diletupkan di kilang logam ketiga terbesar Ukraine di Zaporizhzhia pada 10 Mei 2022. - AFP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyatakan bahawa Ukraine secara asasnya bersetuju untuk menyerahkan hasil mineral nadir bumi yang bernilai AS$500 bilion (RM2.2 trilion) kepada Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar New York Post kelmarin.

Trump berkata, ia adalah sebagai bayaran untuk bantuan ketenteraan yang diberikan Washington kepada Kyiv sepanjang ia dilanda peperangan dengan Russia. 

“Mereka (Ukraine) mempunyai tanah bernilai tinggi yang sangat luar biasa dalam bentuk unsur nadir bumi, minyak, gas dan unsur-unsur lain. 

“Saya mahu wang kami terjamin kerana kami membelanjakan ratusan bilion dolar (di Ukraine),” kata Trump kepada hos Bret Baier, yang mengacarakan program bual bicara Special Report terbitan saluran televisyen Fox News.

Trump, 78, menegaskan bahawa AS harus mempunyai akses kepada sumber semula jadi Ukraine, tanpa mengira sama ada perjanjian damai antara Russia dengan bekas negara Kesatuan Soviet itu boleh dirundingkan dengan jaya.

Beliau memberi alasan bahawa bantuan yang diberikan Washington kepada Kyiv sebanyak lebih AS$300 bilion (RM1.3 trilion) amat besar jika dibandingkan dengan sumbangan dari mana-mana negara-negara lain dalam perang Ukraine menentang Russia. 

“Saya memberitahu mereka bahawa saya mahukan nadir bumi (mineral) yang (nilainya) setara dengan AS$500 bilion dan mereka pada dasarnya bersetuju.

“Saya juga berkata bahawa kami (AS) perlu mendapatkan sesuatu. Kami tidak boleh terus membayar wang (bantuan ketenteraan kepada Ukraine) seperti ini,” katanya.

Trump berhujah bahawa langkah untuk terus memberikan bantuan kepada Ukraine yang dilanda perang secara ‘percuma’ akan menjadi suatu tindakan bodoh.

Pada Jumaat lalu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy memberi isyarat bahawa sokongan untuk pertukaran sumber mineral negaranya bagi mendapatkan jaminan keselamatan AS adalah sebahagian daripada satu kemungkinan penyelesaian damai dalam peperangan dengan Russia.

“Jika kita bercakap tentang perjanjian, maka mari kita memeterainya.

“Kita perlu menghentikan (perang dengan) Presiden Russia, Vladimir Putin dan melindungi apa yang kita ada seperti wilayah Dnipro yang sangat kaya di tengah Ukraine,” kata Zelenskyy.

Ukraine menempatkan kira-kira lima peratus daripada sumber mineral bumi seperti titanium, uranium, besi, mangan, litium dan mineral nadir bumi yang dianggap penting untuk keselamatan negara AS.

Dalam perkembangan berlainan, Zelenskyy akan menawarkan pertukaran wilayah dengan Russia dalam rundingan damai yang berkemungkinan diadakan.

Presiden Ukraine itu memberitahu akhbar The Guardian bahawa beliau akan menawarkan wilayah yang sebelum ini dirampas di wilayah Kursk milik Russia.

“Kami akan menukar satu wilayah dengan wilayah lain. Namun, semua wilayah kita penting, tidak ada keutamaan,” katanya. 

Beliau turut mengakui bahawa Ukraine tidak akan dapat menikmati jaminan keselamatan hanya dengan rakan kongsi Eropah.

“Jaminan keselamatan tanpa Amerika bukanlah jaminan keselamatan yang sebenar,” katanya.

– AFP/AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI