LONDON – Kehadiran Marcus Rashford sebagai pemain pinjaman di Aston Villa mencetuskan rasa tidak puas hati pemain pasukan itu yang mungkin terlepas peluang untuk beraksi di pentas Eropah.
Penggempur Manchester United itu melengkapkan perpindahan ke Villa Park secara pinjaman pada hari terakhir jendela perpindahan Januari lalu selepas berdepan tempoh sukar sejak 18 bulan lalu di Old Trafford.
Pada jendela perpindahan tersebut, skuad kendalian Unai Emery dianggap pasukan yang berjaya apabila turut membawa masuk Donyell Malen dan Andres Garcia secara kekal, manakala dua lagi pemain Axel Disasi dan Marco Asensio berstatus pinjaman.
Kesemua pemain baharu berkenaan memasang impian untuk bersama-sama Villa beraksi di Liga Juara-Juara (UCL), namun syarat yang dikenakan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mungkin meletakkan Emery dalam keadaan serba salah.
Berdasarkan syarat tersebut, Villa hanya diberikan tiga slot untuk pemain baharu didaftarkan dan Emery didakwa memilih Rashford, Garcia dan Asensio berbanding Malen yang berstatus pemain kekal pasukan itu.
Keputusan itu mencetuskan rasa tidak puas hati Malen yang berhijrah dari Borussia Dortmund selepas dia meledak 15 gol musim lalu dan membantu wakil Jerman itu mara ke pentas final pada edisi sebelum ini.
“Sudah tentu ia bukan keputusan yang baik untuk saya lakukan. Saya bercakap dengan Donyell dan cuba mengatakan perkara yang jujur dan saya sedar bahawa ia tidak adil untuk dia. Tetapi, saya perlu buat keputusan berdasarkan matlamat pasukan ini,” kata Emery. – AGENSI